Sharing My Ceritera - Lifestyle Blogger

Featured Posts

12 Jun 2014

23 KESILAPAN YANG SELALU DILAKUKAN SEPANJANG RAMADHAN

Fuhh.. berdebar2 kot menantikan Ramadhan yang bakal tiba ni, semakin hari semakin hampir.. dalam hati kadang tertanya-tanya adakah sudah bersedia mental dan fizikal untuk menempuh satu lagi Ramadhan untuk tahun ini.. 

Moga Ramadhan kali ini kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan lancar dan mendapat Pahala yang barakah.. Aamiinn.. untuk menuju ke arah itu, mari kita sama-sama kumpul ilmu lakukan yang terbaik dan kurangkan kesilapan sebelum melangkah memasuki Ramadhan yang bakal tiba 29 Jun 2014 ni.. hujung bulan ni je.. dah dekat ni.. okeh, BACA yea..

Terdapat sekurang-kurangnya 23 kesilapan yang selalu dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan. Sedarkah kita bahawa terdapat banyak kesilapan yang mungkin tidak disedari, terlepas pandang atau mungkin telah diketahui di sepanjang bulan Ramadhan ini. Antara kesilapannya ialah:
1) Memasuki Ramadhan Dengan Hati Kotor
Memasuki bulan Ramadhan, bergelumang dengan maksiat dan keadaan hati yang penuh kotor, hasad dengki dan bermusuhan. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat besar kepada kualiti ibadah Ramadhan kerana status orang yang terlibat dengan kemungkaran adalah seolah-olah berperang dengan Allah سبحانه وتعالى dan RasulNya..
Dari Abu Darda’ Radliyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berperangai jahat dan berkata keji.” dan dari Ibnu Mas’ud Radliyallaahu ‘anhu pula, Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (Hadis Riwayat Tirmidzi).
2) Tidak Membersihkan Harta
Memasuki Ramadhan dengan harta yang tidak bersih seperti menyimpan barangan curi, megekalkan harta riba dan tidak mengeluarkan zakat pendapatan dan harta serta tidak pula berazam untuk mensucikannya.
Firman Allah سبحانه وتعالى: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada segala akhlak yang buruk)…”  (Surah at-Taubah, Ayat 103)
Rasulullah ﷺ bersabda : “Islam diasaskan atas lima perkara, kesaksian bahawa tiada tuhan selain daripada Allah dan Muhammad Pesuruh Allah, mendirikan solat,mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa pada Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Firman Allah سبحانه وتعالى:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan dirinya.” 
(Surah Al-Syams: Ayat 9).
3) Tidur Berlebihan
Banyak tidur terutama di siang hari dengan alasan, daripada melakukan maksiat lebih baik tidur saja’ atau konon ianya adalah satu ibadah. Imam As-Suyuti menegasakan bahawa hadis yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadah adalah amat lemah. Sedangkan Rasulullah ﷺ mengurangkan waktu tidurnya yang memang sangat sedikit itu untuk memperbanyak ibadah.
Khalifah Umar bin Khattab pernah mengingatkan  “Sekiranya kamu tidur (banyak) siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat (masyarakat); jika kamu tidur (banyak) malam, kamu melalaikan hak Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (Qailullah) bukan sepanjang hari.
4) Kurang Berdoa Ketika Berpuasa

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka (jawablah), bahwasanya Daku adalah dekat. Daku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah; Ayat 186)
Ramai umat Islam kerap mengabaikan dan tidak memperbanyakkan selawat, istighfar dan doa ketika berpuasa. Rasulullah ﷺ telah bersabda : Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
5) Bebas Makan Minum
Ramai yang makan dan minum secara terang-terangan di hadapan orang lain tanpa menjaga adab sebagai orang yang tidak puasa. Atau makan dan minum tanpa rasa malu selepas sengaja batalkan puasa seperti mengeluarkan mani, merokok, makan dan minum tanpa uzur yang dibenarkan Islam. Hakikatnya mereka ini dikenakan denda dengan dilarang melakukan segala perkara yang membatalkan puasa termasuk makan dan minum di sepanjang hari itu.
Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki harinya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
6)  Berbelanja Berbuka Secara Berlebihan
Ramai yang menjadikan bulan puasa sebagai pesta makanan dengan membeli pelbagai jenis makanan sehingga penuh meja atau berbelanja mewah dengan berbuka di restoran-restoran ekslusif dan hotel-hotel sehingga mencecah ratusan ringgit. Lebih malang jika mereka tidak mengambil berat kehalalan makanan tersebut. Kebiasaan inilah yang melanda kebanyakan umat Islam yang tidak kunjung padam ketika menghadapi puasa Ramadhan.
Sewajarnya setiap mukmin bermujahadah dan belajar berbuka secara amat sederhana dan lebihan wang tersebut boleh menjamu orang lain dan disedekahkan kepada fakir miskin.“Allah akan mengurniakan balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa atau seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa.”
7) Hanya Membaca Doa Berbuka
Sewaktu iftar hanya membaca doa berbuka sahaja tanpa penambahan doa-doa yang lain. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Sedangkan doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka), adalah waktu doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
8)  Makan Berlebihan Ketika Sahur Dan Iftar
Walaupun telah melakukan berpuluh-puluh kali puasa, kebiasaan berbuka puasa secara berlebihan dan menjadikannya sebagai acara ‘balas dendam’ atau ‘lepas geram’ tetap sukar diubah. Adalah suatu yang amat dikesali dan merugikan, setelah dapat menahan lapar dan dahaga selama lebih kurang 14 jam hikmah berpuasa sebenarnya tidak dapat dihayati.
Ikutlah sunnah Rasulullah ﷺ, hanya berbuka dengan 3 butir kurma dan segelas air dan boleh ditambah dengan makanan lain setelah mendahulukan solat Maghrib. “Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, Baginda meminum beberapa teguk air.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)
Cara inilah yang sepatutnya diamalkan supaya tidak berlaku kejutan pada organ perut dan seterusnya akan terpelihara kesihatan yang berpanjangan.
9) Makan Sahur Sebelum Tidur
Ramai yang makan sahur sebelum tidur kerana malas untuk bangun di akhir malam. ‘Sahur’dari sudut bahasanya ialah ‘Aslah’ (waktu terakhir di hujung malam) dan para Ulama juga menyebut waktu afdalnya adalah 1/6 terakhir malam. Manakala Imam Ibnu Hajar menegaskan, “Melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Rasulullah .” (Fathul-Bari,4/138)
10) Bersahur Sahaja Tanpa Melakukan Ibadah
Adalah suatu kesilapan besar melepaskan bersahur sahaja tanpa melakukan ibadah yang lain kerana pada waktu sahur dan 10 malam terakhir Ramadan inilah di antara waktu terbaik untuk beribadah, beristighfar dan menunaikan solat malam serta salah satu waktu dimana doa mudah untuk diangkat oleh Allah سبحانه وتعالى.
Firman Allah سبحانه وتعالى ketika memuji orang mukmin:

وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“..dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar.”
(Surah Az-Zariyyat : Ayat 18)
11) Salah Anggap Waktu Imsak Sebagai Penamat Sahur
Menganggap waktu imsak sebagai ‘Lampu Merah’ bagi sahur. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘Amaran Lampu Oren’ yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk ‘Fajar Sadiq’ (Subuh).
12) Tidak Menunaikan Solat Fardhu Ketika Berpuasa
Diakui atau tidak, inilah penyakit dan suatu kesilapan yang amat besar yang diderita umat Islam kini. Walaupun solat bukanlah syarat sah untuk seseorang berpuasa tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman seseorang.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya, ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Dan jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang daripada solat fardunya sesuatu, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hambaKu itu mempunyai solat sunat untuk menampungkan solat fardhunya?”Demikianlah keadaan amalnya yang lain.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi r.a.)
13) Bermalasan Dan Tidak Aktif
Puasa di bulan Ramadhan kerap dijadikan alasan untuk berehat dan malas melakukan aktiviti dan kerja-kerja di siang hari sehingga membawa kesan tidak produktif. Sedangkan, kerja yang dilakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala dan sewajarnya umat Islam kini mempertingkatkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya. Hakikatnya puasa membuat kita mudah berfikir, mempunyai daya tahan diri yang kuat dan mendidik kita untuk mampu hidup.
Sejarah mencatat bahawa banyak kemenangan besar dalam ‘Futuhaat’ (pembebasan wilayah melalui peperangan) yang diharungi oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat, berlaku di tengah bulan Ramadhan.
14) Mengabaikan Solat Subuh Berjemaah
Tidak sebagaimana semangat bertarawih, ramai umat Islam yang terlupa dan mengabaikan kelebihan besar pada semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya Solat Subuh berjemaah yang disebut oleh Rasulullah ﷺ: “Bagi orang yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.”
Rasulullah ﷺ bersabda, ”Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.”           (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
15)  Meninggalkan Solat Tarawih
Walaupun Solat Tarawih adalah suatu sunnah tetapi apabila dikaji secara lebih mendalam, nescaya kita akan dapati bahawa berpuasa Ramadhan tanpa Solat Tarawih atau meninggalkan solat ini tanpa sebarang keuzuran dan halangan adalah suatu kerugian dan amat sayang untuk ditinggalkan, disebabkan amalan sunnah di bulan ini ganjarannya sama dengan pahala amalan wajib.
16)  Terpesong Niat Bertarawih
Menunaikan solat Tarawih di masjid dengan niat sekadar inginkan meriah. Malangnya mereka kerana setiap amalan adalah dikira berdasarkan niat, jika niat utama seseorang hadir ke masjid adalah untuk meriah, dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharapkan ganjaran redha Allah سبحانه وتعالى sebagaimana yang ditetapkan oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadis: “Sesungguhnya amalan itu adalah dikira dengan niat.” (Riwayat Bukhari)
17)  Meninggalkan Solat Witir Berjemaah
Dalam bulan Ramadhan ini umat Islam digalak melakukan ibadah yang mana segala ibadah sunat akan digandakan ganjaran pahalanya menjadi ibadah wajib. Maka bagi meraih pahala berjemaah adalah suatu yang amat merugikan jika tidak ikut serta imam menunaikan Solat Witir selepas tarawih di surau atau masjid. Jika antum berkemampuan untuk bangun beribadah dan bersahur bolehlah melakukan Solat Witir 2 rakaat lagi sebagai penutup di akhir malam. Solat ini hendaklah diniatkan sebagai sebahagian daripada Solat Witir tadi yang mana jumlahnya menjadi 5 rakaat dan tidaklah ia dikira sebagai dua solat.
18)  Tidak Berniat Iktikaf
Ramai yang mengabaikan berniat Iktikaf ketika bertarawih di masjid, surau atau mushalla. Iktikaf bermaksud berhenti dalam masjid pada suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal ibadah sunat yang dituntut oleh Allah سبحانه وتعالى. Selama kita beriktikaf dan menanti ke solat seterusnya, ia dikira sebagai suatu ibadat dan didoakan oleh para malaikat.
Hukum beriktikaf adalah sunat muakkad, terutama pada 10 terakhir Ramadhan. Ibadah iktikaf adalah tidak sah melainkan dengan niat.
Niat Iktikaf:
niat iktikaf
19)  Masih Tidak Merasa Malu Membuka Aurat
Malangnya telah ada yang berani menentang hukum dan jabatan agama bagi membuka aurat. Sudah jelas diperintahkan untuk umat Islam menutup aurat mereka, khusus kaum perempuan. Seharusnya semua kembali kepada ketetapan dan kerendahan hati dalam bulan Ramadhan al-mubarak ini bagi melaksanakan tanggungjawab yang sebenarnya.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا

“Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab: Ayat 59)
20) Wanita Ke Masjid Tanpa Menjaga Aurat
Walaupun ramai wanita siap bertelekung berterawih ke masjid, malangnya aurat dan kaki mereka kerap terdedah dan didedahkan ketika berjalan dan naik tangga masjid. Lebih buruk, jika mereka masih menggunakan telekng lama atau nipis tanpa disedari telah memdedahkan tubuh di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
21) Berpuasa Tapi Melakukan Maksiat
“Yang penting kan puasa!” Nampaknya ayat ini perlu difahami dengan lebih jelas kerana, seolah-olah terhad untuk ibadah lain dan menjadikan ibadah wajib yang lain dipinggirkan. Inilah yang menyebabkan ramai melakukan maksiat di bulan Ramadhan. Syaitan memang terbelenggu, tapi syaitan dalam hati yang harus kita belenggu. Maka dari itu perlu diingat bahawa yang paling penting adalah menjaga hawa nafsu dalam diri kita. Masa yang penuh ujian selama sebulan inilah akan mendidik, menahan pandangan liar dan menahan lisan yang tidak kurang terlepas dari kawalan.
22) Tidak Mengeluarkan Zakat Fitrah
Ramai yang berada dalam bulan Ramadhan, tidak membersihkan diri dengan mengeluarkanzakat fitrah. Zakat ini diwajibkan ke atas insan yang merasai hidup pada sekurang-kurangnya sehari Ramadhan atau sehingga selepas terbit awal fajar 1 Syawal. Zakat Fitrahbertujuan menyucikan setiap individu Islam supaya dirinya bersih seperti baru dilahirkan.
Kadar zakat fitrah tiap seorang hanyalah kira-kira 2 sen sehari iaitu cuma RM 7 atau 2.67 kg makanan asasi. Ramai yang sanggup berbelanja kepada perkara remeh dan sia-sia seperti ‘top up’ telefon, kerosang dan rokok tetapi sangat kedekut bayaran fitrah sekali setahun itu.
Daripada Jabir, Rasulullah ﷺ bersabda: “Puasa Ramadhan tergantung antara langit dan bumi (tidak diangkat) melainkan selepas mengeluarkan zakat fitrah.”
23)  Sibuk Memikirkan Persiapan Hari Raya
Ramadhan belum sampai ke penghujung dan Aidil Fitri masih jauh lagi tetapi kebanyakan umat Islam sibuk melakukan persiapan Aidil Fitri dengan menghias rumah, membuat kuih-muih dan pakaian serta membeli-belah. Bahkan tidak kurang mempertaruhkan keimanannya dengan tidak puasa kerana aktivitinya.  Walaupun Hari Raya Aidil Fitri adalah hari kemenangan seluruh umat Islam selepas sebulan menahan belenggu nafsu pada dirinya, ia perlu dirayakan tetapi tidaklah secara berlebihan.
Penutup
Ini adalah antara beberapa kesalahan atau keterlanjuran yang biasa dilakukan umat Islam ketika menjalani ibadat puasa yang boleh merendahkan martabat Ramadhan.
Oleh itu, kita perlu menghindarkannya demi menjamin pahala berganda pada bulan ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa berpuasa pada Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan dosa lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Ganjaran amat besar bagi orang yang berpuasa dengan penuh keinsafan, ketakwaan dan ikhlas bagi mendapatkan keredaan Allah سبحانه وتعالى.
“Inilah bulan yang Allah fardukan puasa pada siang hari dan menjadikansolat Tarawih sebagai sunnah pada malam hari. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى (taqarrub) melalui amalan baik pada bulan itu, akan dibalas kepadanya ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu pada bulan lain.”
Selain, diberikan balasan pahala berlipat ganda, Allah سبحانه وتعالى turut menjanjikan balasan syurga untuk mereka.
Rasulullah ﷺ bersabda, ”Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Semoga Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya!
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
Nota : keseluruhan info dan maklumat ini adalah dari blog yang paling teman suka baca.. shafiqolbu ... di re-post untuk rujukan n peringatan diri teman sendiri.. 

Jemput Baca :

8 ulasan:

  1. moga kita dijauhkan dari segala kekotoran itu kan TB...

    BalasPadam
  2. Semoga kita dapat jauhi dari kesilapan ketika berpuasa. Thanks share

    BalasPadam
  3. semoga kita dijauhkan dari semua kesilapan yang tersebut... terima kasih untuk peringatan ini :D

    BalasPadam
  4. good info..marilah kita bersihkan hati..masih sempat lg..betulkan niat kita..

    BalasPadam

Facebook SDK

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers