Perkara Penting Sebelum Membeli Rumah Terutamanya
Ketika Pandemik Covid19 Belum Pulih Sepenuhnya
Memiliki rumah sendiri merupakan impian bagi setiap individu. Namun begitu, masih ramai yang tidak yakin untuk membeli rumah terutama dalam keadaaan pendemik Covid yang masih belum pulih sepenuhnya. Situasi pasaran hartanah lembab terkesan daripada masalah Covid-19 membuatkan pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan sehinggalah pihak pemaju dalam membantu mempertingkatkan industri hartanah.
Dalam tinjauan Kestabilan kewangan Bank Negara Malaysia pada separuh pertama 2021 menunjukkan peningkatan permintaan pembiayaan perumahan yang mana melepasi paras pra-pendemik. Ini menunjukkan industri hartanah sedang bergerak kearah fasa pemulihan. Tambahan pula dalam budget 2022 yang dibentangkan oleh Menteri kewangan, kerajaan telah memperuntukkan 2 billion melalui Skim Jaminan Kredit perumahan bagi memudahkan rakyat yang tiada bukti pendapatan tetap untuk memiliki rumah. Dengan cara ini dapat meningkatkan pemilikan rumah kerana rumah yang dibeli pada waktu ini akan meningkat berkali ganda pada masa akan datang dan ini membantu merancakkan pasaran hartanah.
Perkara penting sebelum membeli rumah??
Sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah, sangat perlu untuk mempertimbangkan aspek-aspek berikut:
Menyemak semula kemampuan kewangan.
Senaraikan semua bajet atau komitmen bulanan terlebih dahulu dan kurangkan kos yang tidak perlu. Daripada bajet ini barulah anda tahu berapa banyak yang anda boleh peruntukkan untuk ansuran rumah.
Kos tambahan yang terlibat
Ambil kira kos-kos lain yang terlibat seperti bayaran pendahuluan, yuran pemprosesan bank dan juga guaman bagi urusan SPA dan perjanjian pembelian rumah. Bagi mengurangkan beban untuk bayaran pendahuluan, kerajaan memberi kemudahan kepada rakyat untuk mengeluarkan KWSP Akaun 2 bagi urusan pembelian rumah.
Tentukan jenis rumah yang bersesuaian dengan gaji anda
Biasanya ini adalah soalan yang selalu ditanya oleh pembeli. Untuk menjawab persoalan ini, terdapat pelbagai kalkulator di internet yang boleh digunakan untuk mengetahui kelayakan jumlah pinjaman. Dengan ini memudahkan pembeli untuk mengetahui jenis rumah yang sesuai dengan budget mereka. Oleh itu sebelum membuat apa-apa pembelian rumah, adalah perlu untuk kita tahu bagaimana untuk membuat pengiraan pendapatan berdasarkan kemampuan kewangan kita supaya kita tidak akan terbeban dengan amaun bayaran yang akan dikeluarkan nanti.
Lokasi rumah yang ingin dibeli
Anda perlu kaji persekitaran rumah yang ingin dibeli. Pastikan rumah dekat dengan kemudahan seperti Balai Polis, Sekolah, Masjid, hospital, stesen minyak dan kedai. Perlu dipertimbangkan juga jarak dengan tempat kerja. Selain itu kualiti alam sekitar dan kejiranan yang selamat juga penting bagi memastikan kita dapat hidup dengan tenang dan keselamatan terjamin.
Semak kelayakan Skim Rumah Mampu Milik dan bantuan kerajaan
Di Malaysia, terdapat banyak Skim Perumahan yang ditawarkan samada oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri bagi membantu rakyat untuk memiliki rumah kediaman contohnya PR1MA, PPR,RUMAWIP dan Rumah Selangorku. Selain itu, jika anda adalah bumiputera, gunakan kelebihan untuk membeli hartanah yang mempunyai status lot bumiputera yang mana anda boleh dapat pengurangan harga rumah berdasarkan diskaun bumiputera.
Fahami dokuman-dokumen Jual Beli Rumah dan Pinjaman Perumahan
Apabila berurusan dengan perkara yang sangat besar dan mustahak seperti hartanah, anda perlu pastikan segala dokumen yang terlibat telah dibaca dan disemak dengan teliti. Jadi adalah sangat disarankan supaya anda melantik peguam sendiri yang akan memastikan kepentingan anda terjaga. Antara dokumen yang terlibat dalam pembelian hartanah adalah seperti Letter of Offer, Sales and Purchase Agreement, Facility Agreement dan Memorandum of Transfer.
Kesilapan lazim membeli rumah yang biasa terjadi
Membuat keputusan membeli rumah secara terburu-buru.
Sebelum membuat keputusan membeli rumah, senaraikan apa yang anda inginkan dan expectation dari rumah tersebut. Pembelian rumah adalah pelaburan yang paling besar dalam hidup anda. Jadi tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan dan kaji baik dan buruk rumah-rumah yang anda telah senaraikan
Tidak menyemak Skor Kredit terlebih dahulu
Laporan kredit dan skor kredit adalah dua bahagian yang penting jika anda ingin memohon kemudahan pinjaman untuk membeli rumah. Anda perlu menyemak keduanya unutk memastikan status kredit anda tiada masalah. Biasanya bank akan merujuk kepada laporan CCRIS yang mana memberi gambaran keseluruhan tentang status kewangan anda. Nilai skor kredit yang baik bagi CCRIS meningkatkan peluangb anda untuk mendapatkan pinjaman atau kadar faedah yang lebih baik serta pinjaman akan lebih cepat diluluskan.
Mengambil pinjaman yang melebihi kemampuan
Jika laporan kredit anda baik, bekemungkinan bank akan menawarkan pinjaman yang lebih tinggi daripada apa yang anda perlukan. Anda haruslah bijak dalam memilih dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran yang diberikan. Ambil pinjaman yang perlu sahaja agar tidak terlalu terbeban dengan ansuran bulanan.
Tidak mengkaji lokasi dan kejiranan rumah yang ingin dibeli.
Luangkan masa untuk melihat kejiranan, suasana dan kemudahan yang ada di kawasan tersebut. Ini bagi memastikan Kawasan tersebut sesuai dengan cara hidup anda dan ianya selamat untuk dihuni.
Akhir sekali saya ingin tekankan adalah hampir mustahil untuk mencari rumah yang sempurna. Elakkan terlalu berharap rumah yang terbaik dan akhirnya bertangguh untuk membeli rumah. Tidak salah jika perlu berkompromi dengan ciri-ciri tertentu yang anda inginkan. Apa yang penting, buatlah pilihan yang terbaik.