Tips Berbual dengan Warga Emas Bermasalah Pendengaran |
Hai.. hari ni terbaca satu artikel ni.. dekat Page My Health.. teringat dekat Arwah Atuk dan Opah yang juga kurang pendengaran.. Teman selalu terpaksa bercakap dengan nada kuat kerana kalau bercakap dengan nada perlahan memang mereka tidak akan dengar dan soalan bagai di angin lalu tidak berjawapan..
Rupanya ada cara untuk berkomunikasi dengan warga emas yang bermasalah pendengaran.. Teman teringat ada beberapa kali yang teman bercakap dengan nada perlahan tetapi ajaib kerana arwah atok boleh mendengar dan menjawab soalan teman.. wah.. ketika itu rasa seperti pelik dan teman dapati agaknya memang itu je cara nya kot bercakap dengan arwah atok.. apa-apa pun, jom baca artikel dibawah ini.. mana tahu kot korang juga menghadapi situasi berhadapan dengan warga emas yang kurang pendengaran.. Moga ia bermanfaat buat kita semua..
Kesukaran untuk mendengar dan memahami perbualan di peringkat warga emas akan mengganggu emosi dan menjejaskan komunikasi antara individu tersebut dengan orang lain. Tips berbual dengan mereka yang disayangi, klik >>http://goo.gl/M1zxli atau teruskan membaca disini..
Hilang pendengaran sensorineural di usia lanjut (presbycusis) berlaku akibat proses degenerasi organ pendengaran. Gangguan pendengaran ini berlaku secara beransur-ansur dan bersifat kekal. Kira-kira 30 peratus di kalangan warga tua berusia antara 65 hingga 75 tahun, dan 50 peratus di kalangan usia 75 tahun mengalami masalah pendengaran pada peringkat ini.
Faktor penyebab berlakunya presbycusis belum diketahui secara pasti. Akan tetapi, terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi masalah ini seperti faktor usia, hipertensi, diabetes mellitus, dan pendedahan kepada bunyi bising yang berlanjutan. Antara gejala gangguan pendengaran di peringkat ini termasuklah sukar untuk mendengar dan memahami perbualan, seterusnya mengganggu emosi dan menjejaskan komunikasi antara individu tersebut dengan orang lain.
Gambar petikan dari laman sesawang commons.wikimedia/org/wiki/File:Anatomi_Telinga_Manusia.svg
Rehabilitasi aural seperti pemasangan alat bantu dengar dapat membantu warga tua bermasalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik. Namun, strategi komunikasi dengan individu ini perlu dititikberatkan juga supaya kemampuan mendengar mereka menjadi lebih baik dan berkesan terutamanya apabila berada di persekitaran yang bising.
Antara strategi komunikasi dengan warga tua bermasalah pendengaran yang boleh diaplikasikan adalah:
Tarik Perhatian Sebelum Memulakan Perbualan
Mulakan perbualan dengan menarik perhatian individu tersebut untuk memberitahunya bahawa kita sedang bercakap dengannya. Pastikan topik perbualan tersebut adalah jelas, seterusnya bercakaplah dengan kadar perlahan dan berhadapan dengannya. Kiu-kiu visual seperti isyarat tangan boleh membantu individu tersebut untuk lebih fokus dan memahami mesej yang disampaikan dalam perbualan.
Bercakap dengan Kadar yang Perlahan dan Jelas
Kadar percakapan kita perlu diperlahankan sedikit dan jangan menjerit. Cara ini dapat membantunya mendengar dan memahami perbualan tersebut dengan lebih baik dan berkesan. Setiap mesej yang disampaikan akan menjadi lebih jelas, di samping memudahkannya untuk memproses setiap bunyi pertuturan yang didengari.
Selain tu, pastikan tiada halangan semasa bercakap. Mesej yang disampaikan akan terganggu sekiranya kita bercakap sambil makan, menguap, atau apabila tangan diletakkan menutupi mulut.
Bina/Olah Semula Ayat
Sekiranya berlaku gangguan komunikasi, ulangi mesej yang disampaikan sebentar tadi dalam kadar perlahan, ataupun olah semula ayat pertuturan tersebut supaya lebih senang untuk difahami. Elakkan menggunakan ayat pertuturan yang kompleks
Dapatkan Maklumbalas
Dapatkan maklumbalas daripada warga tua bermasalah pendengaran untuk memastikannya betul-betul memahami mesej yang disampaikan.
Persekitaran Mendengar
Kebanyakan warga tua bermasalah pendengaran menghadapi kesukaran untuk memahami perbualan di persekitaran yang bising. Oleh yang demikian, pastikan persekitaran mendengar mereka jauh dari sumber bunyi bising atau bunyi-bunyi yang boleh mengganggu tumpuan untuk mendengar.
Apabila bercakap, haruslah berada di hadapan mereka dengan jarak yang dekat supaya kiu-kiu visual dapat membantu, di samping mereka dapat membaca gerakan bibir penyampai mesej.
Perlu diingat bahawa matlamat kita adalah untuk memudahkan komunikasi, bukannya mewujudkan emosi atau tanggapan negatif di kalangan warga tua bermasalah pendengaran. Sekiranya matlamat tersebut tidak dapat dicapai menggunakan komunikasi secara lisan, maka komunikasi bukan lisan seperti menyampaikan mesej menggunakan tulisan atau isyarat juga boleh membantu mereka untuk memahami mesej yang disampaikan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------